Apakah tindakan anda sekiranya terlibat dalam kemalangan jalan raya serius yang memerlukan laporan polis dan tuntutan insurans?
Panduan ringkas ini akan menunjukkan kepada anda langkah-langkah yang perlu diambil apabila berlakunya kemalangan jalan raya:
1. Periksa kerosakan kenderaan anda sejurus selepas kemalangan. Pastikan sama ada kenderaan anda masih boleh dipandu. Jika tidak, hubungi ejen insurans kereta anda untuk mendapatkan perkhidmatan trak tunda.
2. Ambil gambar tempat kejadian serta kenderaan yang terlibat dalam kemalangan.
3. Dapatkan maklumat kenderaan (nombor pendaftaran, buatan dan model kereta, warna) yang terlibat dalam kemalangan tersebut.
4. Bertukar butiran peribadi dengan pemandu yang terlibat dalam kemalangan (nama penuh, nombor MyKad, nombor lesen memandu, maklumat perhubungan).
5. Teruskan ke balai polis dalam tempoh 24 jam bermula dari masa kemalangan. Sekiranya kereta anda tidak boleh dipandu, pemandu trak tunda anda harus menunda kenderaan anda ke balai polis dan bukannya ke bengkel.
6. Buat laporan polis di balai, di mana kenderaan anda akan diperiksa dan diambil gambar oleh pihak polis. Pastikan anda mendapatkan salinan laporan polis tersebut.
7. Setelah itu, pandu atau pastikan kereta anda ditunda ke bengkel yang diluluskan oleh syarikat insurans anda.
8. Di bengkel, bekerjasama dengan kakitangan pentadbiran untuk melengkapkan prosedur pemberitahuan / tuntutan dengan syarikat insurans anda. Secara amnya, anda akan memerlukan dokumen-dokumen berikut:
– Satu salinan laporan polis yang difailkan
– Kad pendaftaran kenderaan anda
– Polisi insurans / nota perlindungan anda
– Satu salinan MyKad dan lesen memandu pemilik kenderaan
– Satu salinan MyKad dan lesen memandu pemandu yang terlibat dalam kemalangan
9. Selepas itu, kakitangan yang bertanggungjawab akan mengambil alih kes anda. Namun, pastikan anda membuat susulan rapat dalam tempoh beberapa minggu yang akan datang sehingga tuntutan anda telah diproses dan kenderaan yang terlibat dikembalikan dengan selamat ke tangan anda.